Patani Raya: Satu Warisan, Satu Peradaban, Satu Jiwa Melayu-Islam

Patani Raya: Satu Warisan, Satu Peradaban, Satu Jiwa Melayu-Islam

 

WILAYAH Melayu-Islam di selatan Siam menyimpan sejarah panjang yang tidak terpisahkan dari Nusantara. Kawasan ini telah lama menjadi tanah bertuah bagi masyarakat Melayu, dengan pusat peradabannya berada pada Kesultanan Patani Darussalam yang gemilang.

 

Dalam lipatan sejarah abad ke-19, nama Patani tidak berdiri sendiri. Ia merujuk kepada sebuah konfederasi besar yang dikenali sebagai Tujuh Negeri Melayu Patani. Tujuh negeri inilah yang menjadi teras kepada apa yang hari ini sering disebut sebagai Patani Raya.

 

Tujuh Negeri tersebut adalah:

 

1. Patani (Fathoni)

2. Jala (Yala / Jalor)

3. Reman (Raman)

4. Jaring (Yaring / Jambu)

5. Nongchik (Nong Chik)

6. Teluban (Sai Buri / Selindung Bayu)

7. Rangae (Ra-ngae / Legeh)

 

Ketujuh-tujuhnya mempunyai sistem pemerintahan, ulama, dan tradisi tersendiri, namun tetap bersatu dalam rumpun bahasa, agama dan budaya Melayu-Islam.

 

Namun, pengaruh peradaban Melayu-Islam tidak terhenti di tujuh negeri sahaja. Jauh lebih luas, warisan ini turut meresap ke kawasan-kawasan sekitar yang hingga kini masih kental dengan identiti Melayunya, seperti Senggora (Songkhla), Setul (Satun), Chenak (Chana), Tiba (Thepha), Jeringo (Yi-ngo), Sebayu (Saba Yoi) dan beberapa daerah lain.

 

Seiring peredaran masa, perubahan kuasa politik dan pentadbiran kerajaan Siam, serta pembentukan sempadan negara moden, telah mengubah peta pentadbiran wilayah ini. Nama-nama dan sempadan pentadbiran hari ini di Thailand tidak lagi sepenuhnya sama dengan sempadan sejarahnya.

 

Maka, penting untuk memahami bahawa nama-nama Melayu lama masih hidup dalam ingatan masyarakat, meski dalam peta moden ia dikenali dengan nama Thai.

 

Antaranya:

 

Pattani menjadi Patani / Fathoni, Yaring menjadi Jaring / Jambu, Yala menjadi Jala, Sai Buri menjadi Teluban, Ra-ngae menjadi Rangae, Nong Chik menjadi Nongchik, Songkhla menjadi Senggora, Satun menjadi Setul, Thepha menjadi Tiba, Chana menjadi Chenak, Saba Yoi menjadi Sebayu, Yi-ngo menjadi Jeringo dan banyak lagi.

 

Variasi ejaan ini wujud akibat perbezaan sumber, baik dari catatan Jawi, Melayu klasik mahupun transliterasi bahasa Thai.

 

Peta warisan Patani Raya ini hadir bukan sebagai dokumen politik. Ia adalah gambaran sejarah dan kebudayaan, sebuah usaha untuk mendokumentasikan dan memelihara warisan peradaban Melayu-Islam yang pernah menyinar di selatan Siam.

 

Patani • Jala • Reman • Jaring • Nongchik • Teluban • Rangae — Satu Warisan, Satu Peradaban, Satu Jiwa.

 

CATATAN REDAKSI: Artikel dan peta ilustrasi ini bersifat informasi sejarah dan kebudayaan semata-mata. Kedudukan, bentuk wilayah dan sempadan di dalamnya merupakan ilustrasi yang mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar pada mana-mana zaman. Ia tidak boleh dijadikan rujukan tepat untuk menentukan sempadan sejarah, pentadbiran atau politik moden, dan bukan merupakan tuntutan terhadap mana-mana wilayah pada masa kini.